Pengerusi Persatuan Usahawan Dinamik, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, majlis tersebut di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), ma­nakala Kumpulan Utusan di­pilih sebagai salah satu rakan media.

“Memfokuskan kepada industri teknologi kewangan negara, acara ini terbahagi kepada dua segmen iaitu forum pada sebelah siang dan majlis penganugerahan pada malam.

“Untuk majlis penganugerahan, terdapat beberapa anugerah ditawarkan kepada calon dan syarikat berkelayakan antaranya Personaliti FinTech Terbaik, Syarikat Fintech Baharu Terbaik dan Aplikasi Perbankan Terkenal,” katanya dalam Majlis Prapelancaran Malaysia FinTech Awards di sini hari ini.

Majlis prapelancaran disempurnakan Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr. Halim Shafie.

Yang hadir sama Timbalan Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Menurut Rosthman, pendaftaran dan pencalonan syarikat untuk penganugerahan mula dibuka hari ini sehingga 26 Januari 2018 dalam laman web, www.malaysiafintechawards.com.

Pada masa sama Rosthman berkata, penganjuran forum dalam pula bakal mengetengahkan ahli korporat dan pakar industri yang dijangka memfokuskan pemahaman lebih mendalam dan kesan sektor teknologi kewangan kepada ekonomi Malaysia.

“Forum ini akan menjadi satu dorongan kepada yang mem­pu­nyai keinginan untuk mem­perluas rangkaian serta platform mengenai teknologi kewangan,” katanya.

Rosthman memberitahu, Malaysia FinTech Awards bukan sahaja untuk para pemenang, tetapi terbuka kepada usahawan-usahawan yang ingin meluaskan rangkaian masing-masing.

“Inisiatif sebegini dapat menjadi dorongan pihak terlibat mening­katkan potensi perniagaan, sekali gus mendapatkan faedah untuk masa hadapan," katanya.