Mengulas persoalan orang awam mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berbuat demikian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, suspek hanya akan dikenakan pakaian tersebut sekiranya mendatangkan kemudaratan.

“Bukan Najib sahaja yang tidak pakai (baju oren dan gari)... ramai lagi yang tidak pakai kerana bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat.

“Sekiranya pegawai penyiasat merasakan suspek mendatangkan kemudaratan, mereka akan dipakaikan baju oren dan gari,” jelasnya dalam program temubual #SPRM360 bersama Radio Bernama, di Wisma Bernama di sini hari ini.

Khamis lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan iaitu empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah hampir RM2.3 bilion.

Bagi kesalahan rasuah, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM manakala 21 lagi pertuduhan tersebut adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) 2001 dengan cara menerima, menggunakan dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram.- UTUSAN ONLINE