Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti diberikan, kementerian telah menyediakan satu laluan pendidikan yang pelbagai dan fleksibel dengan memberi penekanan kepada membudayakan Pem­belajaran Sepanjang Hayat.

Ujarnya, peluang pendidikan kini terbuka luas untuk semua dengan mengambil kira bakat dan kecenderungan murid, oleh itu peluang diberikan kepada ibu bapa serta murid untuk memilih laluan yang sesuai dengan kebolehan dan kecenderungan minat masing-masing.

Sehubungan itu, buat permulaan katanya, Dokumen Stan­dard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) diguna pakai pada tahun ini bagi mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Baharu Prasekolah (KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“DSKP dilaksa­nakan bertujuan mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk membolehkan murid bersaing di pe­ringkat global.

“Selari dengan konsep pem­belajaran abad ke-21, kurikulum tersebut juga memberi penekanan kepada pengajaran berpusatkan murid dan pengajaran yang dibezakan, di samping memberi lebih penekanan kepada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek dan melaksa­nakan pentaksiran formatif,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2017, Kementerian Pendidikan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, selaras dengan usaha membangunkan murid secara holistik, Kementerian Pendidikan te­lah melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memberi penekanan kepada pentaksiran bersepadu murid sebagaimana yang diamalkan dalam sistem pendidikan terbaik dunia.

“Pentaksiran yang mengukur murid bersandarkan kepada keputusan peperiksaan semata-mata sebenarnya tidak begitu tepat kerana pengukuran daripada aspek jasmani, emosi dan rohani juga akan menyumbang kepada kejayaan seseorang.

“Kita mahu hasilkan sistem pendidikan negara yang menyeluruh dan dapat mencambah pemikiran murid. Oleh itu, kita telah melaksanakan PBS dengan empat komponen utama iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3),” kata Mahdzir.

Melengkapi pelaksanaan PBS, Kementerian Pendidikan turut memper­kenalkan format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baharu dan ditambah baik.

“Keputusan UPSR selepas ini akan meru­juk kepada tahap pencapaian akademik ca­lon berdasarkan standard kandungan, stan­dard pembelajaran dan stan­dard prestasi seperti yang termaktub dalam DKSP dan bukan merujuk kepada lulus atau gagal. Kita sepatutnya tidak menumpukan terhadap bilangan gred A yang diperoleh calon, sebaliknya melihat pencapaian mereka secara ke­seluruhan,” jelasnya.

Mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi dan cabaran abad ke-21, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya Sekolah Transformasi dengan membangunkan persekitaran sekolah dan suasana bilik darjah yang kondusif dan fleksibel, teknik pengajaran dan pembelajara (PdP) yang kreatif dan berkesan serta pengurusan sekolah yang cekap.

“Program Sekolah Transformasi kini melibatkan 100 buah sekolah di seluruh negara dan akan diperluaskan pada tahun ini melibatkan 100 buah sekolah lagi. Program ini merealisasikan Pem­belajaran Abad ke-21 dalam me­nerapkan Enam Aspirasi Murid.

“Bagi memastikan guru-guru turut bersedia mendidik anak-anak kita untuk masa hadapan, mereka perlu mengamalkan PdP yang bersifat kolaboratif. Professional Learning Community (PLC) sedang dibudayakan di sekolah-sekolah di mana sebanyak 64 buah sekolah telah dipilih sebagai sekolah showcase pada tahun 2016,” katanya.

Sementara itu, tambah Mahdzir, bagi mengarusperdanakan pendidikan vokasional setanding de­ngan aliran perdana melalui Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV), Kementerian Pendidikan mulai tahun ini akan melaksanakan program rintis Pendidikan Asas Vokasional (PAV) Lanjutan bagi mencapai sasaran memenuhi tenaga mahir yang semakin me­ningkat dalam pasaran kerja.

“Program ini merupakan ke­sinambungan bagi murid yang mengikuti program PAV dan akan meneruskan pengajian ke pe­ringkat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3) di sekolah yang sama sehingga tamat Tingkatan 5,” katanya.

Bagi mereka yang berkebolehan dalam bidang sukan, kementerian telah membangunkan Sekolah Sukan Malaysia di lima lokasi di seluruh negara. Kementerian juga telah mengadakan Ta­lent Identification Programme iaitu pemilihan atlet secara berstruktur dari pe­ringkat rendah ke menengah, bagi memastikan nama negara sentiasa harum di arena antarabangsa dalam bidang sukan.

“Buat mereka yang mempunyai bakat seni sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan, seni tari atau seni lukis, mereka akan terus digilap di Sekolah Seni Malaysia, manakala anak-anak yang terjejas dengan masalah kesihatan telah disediakan Program Sekolah Dalam Hospital,” katanya.

Penyediaan pelbagai jenis sekolah mengikut keperluan murid ini jelas sekali bahawa sistem pendidikan negara ketika ini setaraf dengan negara maju yang lain di dunia.

Sementara itu, ujar Mahdzir, bagi memastikan guru bertaraf global, IPG kini sedang melalui proses transformasi dalam tiga peringkat iaitu pengukuhan penyampaian, tumpuan kepada pencapaian serta pengiktirafan nasional dan peringkat peningkatan prestasi dan mencapai stan­dard global.

“Kita berharap agar pendidikan guru di negara ini dapat mencapai standard antarabangsa yang membolehkan guru-guru kita bertugas di mana-mana sahaja di dunia,” katanya.

Bagi memastikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan lebih efisien, Kementerian Pendidikan merancang untuk merangkaikan 8,185 buah sekolah dengan rangkaian berkelajuan tinggi 4G setelah berjaya merangkaikan lebih 6,000 buah sekolah dengan rangkaian yang sama dalam fasa pertama.

“Pelaksanaan fasa kedua pula, kementerian memberi keutamaan kepada pembelajaran murid de­ngan memastikan setiap makmal komputer disediakan capaian 4Mbps. Sehingga Disember 2016, sebanyak 6,704 sekolah telah menerima perkhidmatan tersebut,” katanya.

“Selain itu, pembekalan Pelan Data Individu (2GB) kepada guru sekolah yang berteknologi 4G telah diagihkan secara berperingkat kepada 317,000 orang guru di beberapa buah negeri pada akhir Disember 2016 yang lalu,” kata­nya.