Rais Yatim

Menurut Adat Perpatih yang menjadi pegangan pengamal adat di ne­geri ini, jawatan Undang perlu diisi dalam tempoh tiga bulan dan boleh dilanjutkan sehingga enam bulan.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, di Jelebu apabila seseorang Undang itu meninggal dunia, maka Dato' Menteri Sah Mangku Alam Rajo Sari akan diumumkan sebagai pemangku bagi melaksanakan semua tugas Undang sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, pada masa yang sama, Dato’ Ombi (umbi atau urat) akan ditugaskan mencari benih atau calon yang layak bagi mengisi jawatan Undang.

Menurutnya, dalam hendak menentukan siapa yang akan menjadi Undang, ada tiga Perut iaitu Ulu Jelebu, Sarin dan Kemin yang boleh mengemukakan calon untuk jawatan itu. Ia dinamakan Perut Berundang.

“Sekarang sampai kepada giliran Kemin yang mempunyai tiga Perut kecil atau Jurai iaitu Bemban, Kemin Ulu serta Ilir dan Sungai Pertang.

“Jelas bahawa Kemin Ulu dan Ilir sudah selesai giliran mereka dan ha­nya tinggal giliran Bemban dan Sungai Pertang,” katanya.

Tambahnya, Dato’ Ombi pula menerima nama-nama calon daripada para Buapak Perut yang layak.

“Dato’ Ombi memberi markah kepada para calon tersebut mengikut lunas yang berikut iaitu, cacat cela hendaklah dibaca, karakter sesuai atau tidak yang mana boleh ditentukan terlibat jenayah atau tidak, pernah berkesalahan dalam hubungan kemasyarakatan atau tidak, pernah berhutang kepada waris atau tidak dan menjalankan tugas kebajikan untuk Perut, Jurai dan Suku,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam kata adat, jelasnya, ia dikenali sebagai ‘benih yang boneh’ atau calon yang benar-benar layak dan berwibawa untuk diangkat sebagai Undang yang baharu.

“Dato’ Ombi perlu memberi nama-nama yang sudah beliau tapis berlandaskan formula ‘bertangga naik dan turun’ atau mengikut sistem yang dikehendaki oleh adat.

“Mesti ada sistem yang menerima, dahulu tulisan jawi dalam buku kuning, sekarang tidak ada lagi tetapi sistemnya tetap sama iaitu Buapak memberi nama dan salasilah perlu tahu bagi mengelak dipertikaikan,” katanya.

Selepas tiga bulan purnama, kata Rais, Dato’ Menteri akan meminta senarai nama calon daripada Dato’ Ombi.

Benih yang sudah ditapis oleh Dato’ Ombi akan diserahkan kepada Dato’ Menteri yang kemudiannya memanggil persidangan Dato’ Lembaga atau Penyandang Pusaka Luak Jelebu.

Pada masa ini, Dato’ Lembaga dianggotai oleh Dato’ Menteri, Dato’ Ombi, Dato’ Mengiang, Dato’ Senara, Dato’ Raja Balang, Dato’ Raja Peng­hulu dan Dato’ Maharaja manakala jawatan Dato’ Cincang kini kosong.

Susunan adatnya adalah seperti ini:

Batu Kikir jambatan bosi

gulai udang sebelanga

setelah difikir dalam hati

padakan sorang biarlah bersama

pusaka bergilir suasa dipakai-pakai

masanya sudah tiba giliran pun dah sampai

Dato’ Menteri kemudian akan membaca senarai benih satu persatu dan kemudiannya berkata: “Saya atas sifat sebagai ketua kepada Lembaga memutuskan si polan bin si polan diangkat menjadi Datuk Penghulu Luak Jelebu.”

Kuasa Dato’ Menteri memilih Undang adalah mutlak tetapi para Dato’ Lembaga boleh memberi pandangan mereka dalam persidangan berkenaan terutamanya apabila seseorang calon mempunyai cacat cela yang tidak melayakkan dia menyandang jawatan berkenaan.

Tujuh Dato’ Lembaga sepatutnya memainkan peranan dalam sidang itu dan Dato’ Menteri wajar mende­ngar pandangan-pandangan walaupun kuasa akhir terletak pada beliau.

Petua mencari benih yang sesuai dicerminkan melalui pepatah ‘yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan’, ‘bertertib pada nan tuo, berbudi pada yang zahir’ yang membawa maksud benih yang hendak dikemukakan itu adalah orang yang sudah mempunyai kedudukan dalam keluarga.

Ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang Undang itu ialah dia mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai adat, warak dan berfahaman untuk membantu orang.

Ia dicerminkan dengan tepat, molek dan indah melalui pepatah pepitih dahulu, antara yang terke­nal ialah:

kalau mencari kampung hulu

pertama teluk kedua pantai

kalau mencari datuk penghulu pertama elok kedua pandai

Berdasarkan kepada pepatah itu, Rais menggariskan dalam bukunya, Pantun dan Bahasa Indah Jendela Budaya Melayu mengenai ciri-ciri memilih pemimpin.

Katanya, seseorang pemimpin sentiasa menjaga nama baik dirinya dan kaum keluarganya seterusnya kumpulan atau masyarakat yang dipimpinnya.

“Keelokan dan kepandaian, dua sifat keperibadian pemimpin, harus diadunkan dalam sahsiah seseorang pemimpin sedemikian rupa hingga ia menjadi sebati dengan peribadinya.

“Agar dia tidak mudah dilemahkan oleh faktor sekeliling dalam mengharung arus perjuangannya, sifat-sifat kepemimpinan yang ada padanya itu harus tahan uji,” ujarnya.