Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop (gambar) berkata, sejak Ja­nuari lalu, kira-kira 130,000 akaun telah memperoleh insentif percuma RM500 itu, sedangkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada 500,000 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang membuat simpanan di dalam SSPN-i atau SSPN-i Plus.

KUALA LUMPUR, 9 November 2018--Temubual bersama Pengurus Besar
ABDUL GHAFFAR YUSOP

Beliau berkata, insentif geran sepadan itu diberikan dalam bentuk simpanan percuma kepada pendeposit yang menabung sekurang-kurangnya RM500 sepanjang 2018.

“Ini adalah antara usaha kerajaan menggalakkan orang ramai khususnya ibu bapa untuk menabung demi pendidikan tinggi anak-anak mereka memandangkan perbelanjaan untuk pendidikan dilihat me­ningkat setiap tahun.

“Ibu bapa diharap memberi keutamaan terhadap simpanan pendidikan anak-anak dalam per­belanjaan setiap bulan, bukannya hanya menyimpan apabila wujudnya lebihan,” katanya.

Abdul Ghaffar berkata, SSPN-i dan SSPN-i Plus adalah instrumen persediaan kewangan terbaik untuk ibu bapa yang ingin menabung untuk pendidikan tinggi anak-anak mereka. Kedua-dua produk tersebut memberikan pelbagai kelebihan dan keistimewaan kepada pendeposit.

Jelasnya, bagi mereka yang mampu, seeloknya mengambil SSPN-i Plus yang memerlukan komitmen setiap bulan, tetapi pendeposit turut diberikan per­lindungan takaful sekiranya ber­laku kematian atau ilat kekal akibat kemalangan.

“Sebenarnya tidak ada produk semurah SSPN-i Plus. Melalui tabungan serendah RM30, pendeposit diberikan pelbagai manfaat termasuk perlindungan takaful sehingga RM40,000 biarpun mereka hanya membayar RM10 untuk takaful.

“Jika disimpan dari awal, anda telah mempunyai simpanan masa depan untuk pendidikan anak anda dan tidak perlu bergantung harap kepada pembiayaan PTPTN semata-mata,” katanya.

Abdul Ghaffar berkata, setakat ini, 3.7 juta akaun telah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM3.9 bilion dan daripada jumlah tersebut sebanyak 3.4 juta akaun adalah penabungan dalam SSPN-i manakala 295,920 dalam akaun SSPN-i Plus.

Sementara itu kata Ghaffar, dengan menabung di SSPN-i, pendeposit turut mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM6,000 setahun manakala SSPN-i Plus pula memberikan pelepasan sehingga RM12,000 setahun, hasil gabungan akaun simpanan dan insurans.

Tambah beliau, sekiranya pen­deposit mendapat pelepasan taksiran cukai yang maksimum, ditambah dengan pemberian anggaran dividen yang maksimum, bermakna mereka telah mendapat keuntungan yang ba­nyak.