AHLI Persatuan Generasi Kedua Felda Chemplak Barat dan penduduk berganding bahu memotong daging korban dalam Program Gotong-Royong Korban Felda Chemplak Barat di Labis, Johor, semalam.

Pengerusinya, Samad Abdulah berkata, idea tersebut timbul selepas mendapati tidak ramai mampu untuk membeli lembu untuk korban secara bersendirian memandangkan harganya yang tinggi iaitu mencecah RM4,000 seekor ketika ini.

“Kami sepakat membuka peluang kepada ahli yang berminat untuk menabung bagi tujuan ini. Alhamdulillah ramai memberi reaksi positif dan hasilnya kami berjaya membeli tujuh ekor lembu pada tahun ini.

“Program ini yang merupakan julung kali diadakan akan dite­ruskan pada tahun-tahun akan datang kerana masih ramai berminat untuk turut serta pada tahun depan,” katanya yang juga Pengerusi Masjid Felda Chemplak Barat kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Bagi meringankan beban ahli yang berhasrat untuk melakukan ibadah korban, persatuan yang mempunyai kira-kira 200 ahli turut bekerjasama dengan penduduk bergotong-royong menyembelih serta menguruskan pengagihan daging korban.

Seorang generasi kedua Felda Chemplak Barat, Hashim Molan, 52, mengakui program yang dijalankan hari ini bukan sahaja membuktikan masyarakat berkorban wang ringgit dan haiwan ternakan, malah membawa pengertian lebih dalam iaitu berkorban tenaga dan masa.

“Program sebegini merupakan platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah tanpa mengira kedudukan, usia dan fahaman politik dalam menegakkan tuntutan agama.

“Walaupun setiap tahun kami sememangnya turut serta dalam program gotong-royong sebegini, namun tahun ini lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai ahli persatuan memandangkan mereka turut me­laksanakan ibadah korban,” katanya.