Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penetapan syarat tersebut adalah selaras de­ngan sasaran kerajaan untuk memperkasakan Tabika KEMAS agar lebih baik berbanding de­ngan pusat pendidikan awal kanak-kanak lain terutama milik swasta.

“Pada masa ini sebanyak 65 peratus daripada kira-kira 11,046 Pemaju Masyarakat di seluruh negara berkelulusan diploma atau lebih tinggi dan saya yakin jumlah tersebut akan mencapai 100 peratus dalam tempoh empat tahun lagi.

“Bagi mencapai sasaran itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan menghantar Pemaju Masyarakat yang tidak mempu­nyai kelulusan diploma untuk me­lanjutkan pe­ngajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej KETENGAH dan Kolej KOPEDA ,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Hari Potensi Tabika KEMAS Pe­ringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang, di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS, Hassan Manaf.

Menurut Ismail Sabri, sejak 2006 kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk menghantar Pemaju Masyarakat mengikuti pengajian di peringkat lebih tinggi bagi membolehkan me­reka men­­dapat Diploma Pen­­didikan Awal Ka­nak-Kanak.

“Lanjutan daripa­da itu, selepas menamatkan pengajian mereka akan dilantik atas gred S29. Selain itu, bagi yang sedang berkhidmat dengan gred yang rendah akan turut diberi peluang untuk mengikuti penga­jian melalui program Kursus Dalam Cuti (KDC) di IPG.

“Manakala, bagi mereka yang memiliki ijazah atau diploma bukan program pendidikan awal, kita akan menghantar mereka berkursus selama enam bulan (Sijil Pendidikan Awal Kanak-kanak) sebelum dilantik ke jawatan Pemaju Masyarakat,” jelasnya.

Kursus ini dijalankan di pusat-pusat latihan KEMAS di Pusat Latihan KEMAS di Kepala Batas, Pulau Pinang; Seberang Takir, Terengganu; dan Bukit Baru, Melaka serta di Institut Latihan KEMAS Kuala Lumpur.

Tambah Ismail Sab­ri, selain memperkasakan Pemaju Masyarakat pihaknya telah melancarkan Trans­­formasi Ta­bi­ka KEMAS pada Ogos lalu dengan mem­perkenalkan tiga mo­dul utama iaitu Program Penghayatan Pendidikan Islam, Pemupukan Semangat Patriotik dan Keyakinan Diri.

“Usaha berkenaan adalah selaras dengan Transformasi Tabika Berprestasi Tinggi supaya kualiti pusat pendidikan awal kerajaan itu dapat ditingkatkan,” jelasnya.