Namun, kemelut yang dihadapi pemandu daripada kedua-dua syarikat itu perlu diselesaikan antaranya mempercepatkan penguatkuasaan undangundang e-hailing.

Berpengalaman menguruskan isu tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATUK SERI NANCY SHUKRI berkongsi pandangannya dengan wartawan Utusan Malaysia, SAJIDA ASARULAH KHAN.

 

UTUSAN: Apa cadangan Datuk Seri mengenai sistem e-hailing. Apa perubahan yang harus dilaksanakan kerajaan bagi memberi keseimbangan kepada kedua-dua perkhidmatan?

NANCY: Kita perlu mene­rima hakikat bahawa perkhidmatan e-hailing merupakan satu model perniagaan baharu dan sukar untuk kita melawan arus. Namun dalam hal ini kerajaan terdahulu telah meminda undang-undang bagi memboleh­kan perkhidmatan e-hailing berada di tahap seperti dituntut oleh pemandu teksi. Antaranya mahu pemandu e-hailing dikenakan bayaran seperti pemandu teksi.

Rang Undang-Undang Pe­ngangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu. Kenapa masih belum dikuatkuasakan?

Penerangan berterusan khususnya kepada pemandu teksi amat diperlukan. Campur tangan pembangkang ketika itu menyebabkan penangguhan penguatkuasaan, malah pada waktu itu pemandu teksi masih tidak dapat menerima transformasi perkhidmatan teksi.

Apa yang kerajaan perlu lakukan selain segera kuatkuasa undang-undang e-hailing?

Kerajaan harus meneruskan program penerangan dan minta pandangan daripada ketua-ketua atau pengerusi persatuan teksi.

Perkhidmatan e-hailing semakin mendapat permintaan, banyak syarikat baharu menawarkan perkhidmatan tersebut. Apa kekurangan perkhidmatan teksi sehingga pengguna lebih berminat kepada e-hailing?

Penggunaan e-hailing merupakan satu trend masa kini. Mengikut pengalaman dan pemerhatian saya, pemandu teksi masih menggunakan cara lama. Ramai pemandu teksi agak berusia dan sukar menggunakan kaedah moden sedangkan pada masa kini pengguna lebih suka menggunakan aplikasi.

Dalam pertemuan di antara pemandu teksi dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi baru-baru ini berlaku kekecohan. Apa nasihat Datuk Seri kepada pemandu teksi yang sedang berdepan dengan situasi getir termasuk ada yang hilang punca pendapatan?

Kepada pemandu teksi, memang sukar untuk melawan arus. Kalau kerajaan tidak membenarkan perkhidmatan e-hailing maka semakin banyak kewujudan kereta sapu. Dalam masa sama, semakin ramai individu atau syarikat menjalankan perkhidmatan menyewa kenderaan dengan cara tidak sah. Oleh itu saya sarankan agar pemandu teksi berbincang dengan pihak berwajib supaya boleh menyelesaikan masalah tersebut.