Selain itu, jurucakap tersebut melabelkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai anti-Yahudi susulan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan atlet Israel hadir bagi bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Kata Saifuddin, selama lebih separuh abad, Israel sendiri secara berterusan tidak mengendahkan hak rakyat Palestin dengan melaksanakan dasar-dasar dan amalan yang tidak berperikemanusiaan yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa.

"Israel tiada hak untuk bercakap tentang nilai-nilai moral apabila mereka sendiri adalah sebaliknya.

"Saya mahu mengulangi Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui komitmen jangka panjangnya ke arah mengembalikan hak dan kebebasan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon mengecam larangan penyertaan atlet Israel dalam acara sukan antarabangsa itu dan berkata keputusan tersebut didorong oleh sikap anti-Yahudi melampau Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir sebelum ini berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan. - UTUSAN ONLINE