ABDUL FATTAH ABDULLAH

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, keputusan yang dibuat itu memberi kelegaan kepada kira-kira 63,200 penjawat awam terlibat dan lebih 600 koperasi kredit di seluruh negara.

“Keputusan ini dapat membolehkan peminjam menjelaskan hutang pinjaman mereka kepada koperasi dan koperasi terlibat juga dapat membuat kutipan pinjaman dengan baik.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan dan Angkasa yang akan berbincang semula dengan koperasi kredit seluruh negara bersama Jabatan Akauntan dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Da­lam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagaimana dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat kakitangan awam berbelanja berhemah dapat dilaksanakan dengan adil,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Ihya Ramadan Angkasa peringkat Zon Pahang 2 di Masjid Kampung Batu 13, Chenor di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Mohd. Arifin Awang Ismail.

Menurut Abdul Fattah, dalam tempoh dua bulan sekatan dikenakan, jumlah kutipan pinjaman tertangguh yang tidak dapat dikutip koperasi-koperasi kredit berjumlah kira-kira RM20 juta sebulan.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sekatan kutipan pinjaman melebihi 60 peratus dikenakan terhadap kakitangan awam yang telah membuat pinjaman itu memberikan kesan negatif kepada peminjam yang berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada koperasi kerana gagal melunaskan pinjaman.

Tambahnya, tindakan itu juga menyebabkan koperasi-koperasi kredit tidak dapat mengutip pinjaman seterusnya dan menghadapi masalah membayar pinjaman mereka dengan bank seterusnya berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Malah kalau peminjam berkenaan adalah ahli koperasi dan mereka tidak membayar yuran dalam tempoh tiga bulan, maka secara automatik mereka tidak lagi menjadi ahli koperasi,” katanya sambil memberitahu sekatan pemotongan gaji bermula bulan ini.