Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah, orang Melayu hendaklah pantas mengubah minda, berani memeriksa kesalahan diri serta melakukan penghijrahan minda dan budaya daripada terus berada di dalam minda penafian untuk menyalahkan orang lain.

“Kepincangan yang sedang berlaku menuntut kepada perlunya orang Melayu mengakui kesilapan lalu bertekad segera melakukan pembetulan. Jika orang Melayu tiada kesungguhan mahu melakukan pembetulan, dibimbangkan akan muncul di pentas hidup Malaysia moden, lebih ramai watak seperti Lebai Malang dan Pak Pandir.

“Sudah 61 tahun negara mencapai kemerdekaan, landskap negara secara fizikal, sosial, ekonomi dan politik telah berubah yang menuntut bangsa Melayu berani melakukan perubahan minda secara radikal untuk mengharungi cabaran baru. Jika gagal, dibimbangi orang Melayu akan menghadapi nasib pupus seperti dinosaur,” titahya.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli hadir bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyempurnakan majlis Malam Semarak Perjuangan, Anugerah Tokoh Srikandi 2018 bersempena ulang tahun ke-70 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa.

Titah Sultan Nazrin lagi, bangsa Melayu tidak boleh maju kalau kekuatan bangsa mahu dibina dengan jiwa yang ditakut-takutkan.

“Sebaliknya, orang Melayu akan menjadi lebih kuat dan yakin jika jiwa mereka dibina dengan semangat berupaya melakukan pengubahsuaian kepada persekitaran yang sudah berubah, diberanikan untuk mengadaptasi selaras dengan dinamik dunia yang tidak pernah statik dan digalakkan terjun ke dalam lautan yang lebih luas dan pelbagai,” titahnya.

Tambah baginda, walaupun bilangan profesional Melayu dilihat bertambah, namun secara relatifnya bilangan mereka masih ketinggalan dan berada di belakang berbanding kaum-kaum lain.

Malah hakikat juga titah Sultan Nazrin, jurang kekayaan berlaku secara lebih ketara bukan sahaja antara Melayu dengan bukan Melayu tetapi antara Melayu yang berada dengan Melayu yang tidak berada.

“Jurang yang berlaku tidak lagi boleh disalahkan kerana dasar diskriminasi dan dasar pecah perintah kerajaan Inggeris dahulu, namun jurang ini berlaku ketika bangsa Melayu berada di bawah pemerintahan kerajaan merdeka serta di bawah pimpinan politik Melayu dengan penggubalan dasar-dasar yang disifatkan memberi kelebihan kepada orang Melayu.

“Namun hakikat juga menunjukkan pelbagai skandal menyentuh amanah, rasuah dan integriti dilaporkan berlaku dilakukan oleh profesional Melayu. Perlakuan itu amat bercanggah dengan pegangan agama Islam dan budaya Melayu dan ketirisan di peringkat pelaksanaan dasar itu mengakibatkan matlamat dan sasaran program ekonomi untuk orang Melayu gagal mencapai sasaran,” titah baginda.