Berucap pada majlis koktel sempena Majlis Makan Malam Gala malam semalam, Najib berkata, Perdana Menteri India, Narendra Modi menganggap Malaysia sebagai kawan dan memberi jaminan akan terus memastikan hubungan ini berada pada tahap tertinggi.

‘‘India memberi pengiktirafan kepada kita. Saya yakin hubu­ngan diplomatik Malaysia dan India yang sudah memasuki usia 60 tahun akan berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani diterjemahkan dalam bentuk perjanjian.

Katanya, syarikat atau usahawan Malaysia yang berjaya memperoleh projek perlu memastikan semua projek berjalan dengan baik bagi menjaga reputasi negara.

‘‘Reputasi dan imej kita sudah pasti terjejas jika kita setakat tandatangan MoU tersebut tetapi tidak melaksanakan sebagaimana dijanji,” katanya.

Kira-kira 200 orang usahawan Malaysia yang mewakili syarikat-syarikat yang terlibat dengan projek atau yang menandatangani MoU hadir dalam majlis itu.

Lawatan Perdana Menteri yang bermula di Chennai dan berakhir di sini hari ini mencatatkan kejayaan apabila sebanyak 31 MoU bernilai RM162.37 bilion, satu jumlah yang dianggap besar berjaya dimeterai.

Selain 31 MoU, Malaysia hampir pasti mendapat dua projek infrastruktur yang besar di negeri Rajastan. – UTUSAN