Pengarah Projek Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Yew Yow Boo berkata, bagi fasa pertama, terdapat 19 lokasi laluan ECRL yang mempunyai terowong melibatkan jarak sepanjang 49 kilometer.

“Terowong terpanjang di Malaysia ini akan dibina dari Bentong, Pahang ke Gombak, Selangor sejauh 17.9 kilometer.

“Dua lokasi akan mempunyai terowong untuk fasa kedua membabitkan jarak sepanjang 13 kilometer dari Gombak ke Serendah dan Pelabuhan Klang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah projek ECRL yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kotasas di sini hari ini.

Yow Boo berkata, terowong yang bakal dibina itu merentasi Banjaran Titiwangsa manakala kerja-kerja mengorek dijangka bermula awal tahun depan.

Menurutnya, kerja-kerja mengorek terowong akan menggunakan mesin pe­ngorek terowong (TBM) dan kaedah korek serta ledak mengikut kesesuaian keadaan.

Mengikut perancangan, katanya, pembinaan terowong yang sebahagian besar­nya di negeri ini dan sempadan Terengganu serta Kelantan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

“Kita juga akan bina jambatan 88.8km di kawasan berisiko banjir terutama di Terengganu dan Kelantan,” katanya.