Kejayaan itu yang disifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sebagai pengiktirafan terhadap industri pelancongan negeri, bertitik tolak daripada kerjasama pihaknya termasuk barisan Exco dan timbalan Exco, ketua-ke­tua jabatan serta agensi berkaitan untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang berkembang maju khususnya dalam bidang pelancongan.

Antara kejayaan yang dicapai Melaka sebelum ini adalah menjadi antara 10 destinasi terbaik yang perlu dilawati di Asia oleh The Lonely Planet.Com; antara 25 destinasi pilihan oleh Trip Advisor.Com; destinasi pelancongan kedua popular di Malaysia yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Selain itu, Melaka turut diiktiraf menerima anugerah antara 50 lokasi tempat makan terbaik di seluruh dunia dan pengiktirafan oleh majalah Where To Travel & Lifestyle terhadap Idris menerusi anugerah The Tourism Guru.

Idris berkata, sokongan rakyat Me­­laka juga banyak membantu u­sa­ha kerajaan negeri sehingga mem­bolehkan beliau menerima Anugerah Khas Perdana Menteri Kategori Individu sempena APM 2016/2017.

Beliau menyifatkan anugerah diterimanya itu sebagai pengiktirafan di atas komitmennya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­­­cong­an, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau Negeri Melaka.

Idris merupakan penerima Anugerah Khas Perdana Menteri Kategori Individu berikutan pe­ranan industri pelancongan Melaka yang telah menyumbang seba­nyak 45.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Mengulas lanjut, Idris memberitahu, pada tahun lalu, dengan segala usaha dan kerja keras yang dilaksanakan, Melaka berjaya menarik sebanyak 16.79 juta pelancong, melepasi sasaran 16.75 juta pelancong iaitu peningkatan sebanyak 3.15 peratus atau 512,387 orang berbanding pada 2016.

“Kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada badan-badan yang telah mengiktiraf Melaka kerana meskipun negeri ini kecil, namun sentiasa mendapat perhatian badan pelancongan dunia.

“Semua kejayaan ini meletakkan Melaka setanding destinasi pelancongan popular lain di Malaysia, Asia mahupun seluruh dunia,” katanya sambil memberitahu sasaran utama kerajaan negeri adalah menarik 20 juta pelancong menje­lang 2020 iaitu usaha awal ke arah mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.