Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, pameran itu juga bakal menjemput penyertaan negara-negara ASEAN lain sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.

Menurutnya, pada tahun lalu pameran antarabangsa itu hanya melibatkan tiga negara dan telah menarik perhatian Indonesia untuk turut serta selepas kejayaan penganjuran Pameran Setem Remaja Dunia (KLWYSE 2014) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tahun lalu.

“Tarikh sebenar pameran itu masih dalam perbincangan dan kita meminta Pos Malaysia Berhad bersama Persatuan Filateli Malaysia dan kerajaan negeri untuk mencari waktu yang sesuai.

“Pemilihan negeri ini sebagai tuan rumah berikutan kemudahan yang terdapat di Melaka selain kewujudan satu-satunya Muzium Setem yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-175 pengeluaran setem pertama dunia, Penny Black di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Jailani berkata, sempena penganjuran pameran antarabangsa itu, beliau juga mencadangkan Pos Malaysia Berhad untuk mengeluarkan setem yang bertemakan komuniti ASEAN.

“Itu sebagai ikon yang menonjolkan ciri-ciri dan identiti untuk mengukuhkan jaringan perkhidmatan antara negara ASEAN,” katanya.

Sambutan selama empat hari yang berakhir pada 3 Mei ini mempamerkan Penny Black iaitu setem pertama dunia yang dikeluarkan di Britain pada 1840.

Setem berimejkan Ratu Victoria itu merupakan setem tersohor yang telah merubah sistem komunikasi dunia serta ketamadunan manusia.

Penggunaan setem itu merevolusikan sistem pos kepada sistem komunikasi awam moden yang diwarisi hari ini.