IDRIS Haron (kanan) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Xu Kacheng (tengah) semasa lawatan kerja Kerajaan Negeri Melaka ke Guangzhou, China, kelmarin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, perbincangan mengenai pelaksanaan perkara itu dibuat menerusi pertemuannya dengan Presi­den Hospital Kanser Fuda di Guangzhou, Xu Kacheng semasa lawatan kerja rombo­ngan Kerajaan Negeri Melaka ke wilayah berkenaan.

Kata beliau, dengan kewujudan pusat rawatan kanser di Melaka, ia akan menjadi hab bagi pesakit dari negara ASEAN mendapatkan rawatan kanser, sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong kesihatan ke Melaka.

“Setiap tahun kira-kira 120,000 pelancong kesihatan datang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan dan daripada jumlah itu, pastinya terdapat pesakit yang menghidap kanser.

“Untuk itu kerajaan ne­geri bercadang mewujudkan sebuah pusat rawatan kanser di Melaka bagi memudahkan pesakit kanser di rantau ASEAN mendapatkan rawatan,” katanya dalam teks sempena lawatan kerja Kerajaan Ne­geri Melaka selama tiga hari ke China mulai Ahad lalu.

Idris berkata, kerajaan ne­geri juga optimis kewujudan pusat rawatan itu yang kini menjadi keperluan akan turut menjadi tumpuan sebagai pusat penyelidikan dan pemba­ngunan (R&D) mengenai kanser.

Katanya, sebuah syarikat swasta dari Malaysia akan be­kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri dijangka terlibat dalam pelaksanaan pusat rawatan kanser itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan menghantar Pegawai Kewangan negeri, Datuk Md. Zin Mansor untuk me­ninjau keadaan pusat rawatan yang terdapat di Guangzhou.

“Terdapat dua pusat rawatan kanser di Guangzhou yang mempunyai 40 orang pakar bedah. Hospital itu menggunakan kaedah moden cryosurgery terhadap pesakit kanser iaitu kaedah tanpa pembedahan. Saya dimaklumkan kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat pakar itu datang dari 76 buah negara,” katanya.