Dalam laporan tersebut, Melaka menyediakan rumah paling mampu dimiliki dengan indeks 2.43 (nis­bah median harga rumah kepada pendapatan median tahunan isi rumah) dan rumah paling tidak mampu dimiliki adalah berada di Kuala Lumpur dengan indeks 6.88 dan Pulau Pinang pada tahap 6.32.

Dengan laporan Making Hou­sing Affordable oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada 2015 dan laporan Bank Negara Malaysia (Bank Negara) pada 2016 di bawah tajuk Demystifying The Affordable Housing Issue In Malaysia, nisbah median harga rumah dengan median pendapatan penduduk di negeri ini adalah di bawah indeks 3.0 iaitu pada tahap 2.98.

Perkara tersebut menunjukkan daya usaha berterusan dan komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan perumahan mencukupi dan mampu milik telah menampakkan kesan positif dengan berjaya menurunkan la­­­gi indeks dari 2.98 kepada 2.43 pada tahun ini.

Di samping itu, kerjasama pihak awam dan swasta antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan pemaju perumahan Wawasan Intact Properties Sdn. Bhd. juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records apabila 277 unit Rumah Mampu Milik (RMM) berjaya disiapkan dalam tempoh lapan bulan.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, bagi mengekalkan daya saing pembinaan RMM, kerajaan negeri menetapkan dasar pembinaan RMM sejak tahun 2014 lagi iaitu pemaju diwajibkan membina rumah ber­kenaan sebanyak 40 peratus dalam projek pembangunan terbabit bagi projek perumahan melebihi lapan ekar.

“Harga RMM ditetapkan tidak melebihi RM180,000 seunit de­ngan keluasan minimum 1,000 kaki per­segi dan mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air. Sehingga kini, pencapaian Melaka dalam sektor pembangunan perumahan sangat membanggakan.

“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa pe­ratus pemilikan rumah di Melaka ialah 84.4 peratus. Kadar pemilikan di negeri ini adalah lebih tinggi daripada kadar pemilikan di peringkat nasional pada kadar 76.1 peratus sahaja,” jelas beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Idris membe­ritahu, sejak tahun 2013 hingga 30 November tahun ini, melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri te­lah dan sedang membangunkan 62,821 unit RMM di seluruh ne­geri ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30,534 unit RMM diba­ngunkan oleh jabatan serta agensi kerajaan negeri, manakala 32,287 unit RMM dibangunkan jabatan dan agensi kerajaan.