Keadaan ini menurutnya telah berlarutan hampir 60 tahun sejak merdeka tetapi masih tidak mempunyai sebarang penyelesaian.

Oleh itu, menurutnya, pertemuan dan perbincangan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), persatuan nelayan dan juga persatuan perniagaan perikanan akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan penyelesaian.

"Kalau di pangkalan (jeti), ikan kembung dibeli pada harga RM4, RM5 (sekilogram) tetapi apabila di atas meja (pasar-pasar di bandar besar) harganya sampai RM20 (sekilogram). Ini merupakan satu perbezaan yang cukup jauh, tidak sepatutnya berlaku walaupun setelah mengambil kira kos pengangkutan (orang tengah membawa ikan ke bandar)," katanya.

Salahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup secara tunai kepada 647 nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan di Kompleks Penghulu Serkat, Mukim Serkat di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaludin Othman.

Beliau berkata, semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, menteri-menteri ketika itu termasuk Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pernah mengambil pendekatan 'berjihad' terhadap orang-orang tengah yang membeli hasil tangkapan nelayan itu tetapi tidak juga mendatangkan penyelesaian.

"Oleh itu, saya akan cuba sedaya upaya lagi. Saya faham ia bukan mudah. Namun, paling tidak pun berjaya mendapatkan harga yang munasabah buat mereka (nelayan) berbanding harga akhir ikan itu (harga dijual di bandar)," katanya.

Mengulas isu lain, Salahuddin yang juga Anggota Parlimen Pulai berkata proses pemutihan untuk memastikan hanya nelayan yang masih menjadi nelayan layak menerima elaun sara hidup dan insentif daripada kerajaan, akan dijalankan sehingga tahun ini.

Justeru, beliau berkata, adalah diharapkan LKIM akan menjalankan tanggungjawabnya dengan bekerjasama sepenuhnya dengan semua pihak termasuk penghulu, ketua kampung dan wakil rakyat bagi memastikan usaha itu tercapai.

Berhubung ura-ura bahawa Jabatan Taman Laut Malaysia akan diletakkan semula di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berbanding di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sebelum ini, Salahuddin berkata Kabinet telah membuat keputusannya mengenai perkara terbabit.

"Keputusan Kabinet telah meletakkan Jabatan Taman Laut di bawah kementerian saya, sebab asalnya ia memang di bawah kementerian ini.

"Saya rasa tidak ada isu sebab sebelum ini pun kita mengawal kapal-kapal laut dan kita ada cukup agensi untuk melakukan pengawalan," katanya laporan sebuah akhbar arus perdana semalam.-Bernama