Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya kini sedang menjalankan rundingan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, harga ubat-ubatan meningkat pada setiap tahun antara 10 ke 20 peratus, justeru merupakan satu beban yang besar.

Sehubungan itu katanya, bagi ubat biasa, pihaknya cuba sedaya yang boleh untuk menggunakan ubat generik agar harga ubat tidak begitu meningkat.

“Yang penting sekali, kita harap dapat memudahkan import ubat-ubatan dibawa masuk ke Malaysia melalui satu kaedah yang lebih senang dan tidak merumitkan.

“Jadi, kos untuk mereka yang terlibat dalam perniagaan farmaseutikal ini tidak begitu meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Farmasi dan Sains Kesihatan Kali Ke-2 anjuran Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di sini hari ini.

Hadir sama Dekan Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan UniKL RCMP, Prof. Dr. Ahmad Fuad Shamsuddin. - UTUSAN ONLINE