Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, pengamal media sosial juga tidak perlu terlalu mempercayai setiap status yang dimuat naik dalam Facebook, blog atau yang dipaparkan menerusi Twitter.

Katanya, hal itu kerana terdapat banyak berita palsu bertebaran di alam maya tanpa fakta yang sah dan benar.

‘‘Majalah Economist minggu ini turut mempersoalkan sama ada media sosial adalah ancaman kepada demokrasi. Majalah itu berkata berita palsu adalah sangat kotor dan saya bersetuju dengan pendapat itu.

‘‘Pakar strategis politik Amerika Syarikat telah menggambarkan media sosial sebagai masalah politik terbesar di seluruh dunia dan kita mesti memandang serius mengenai perkara itu di sini. Kita tidak mahu sesiapa pun membuat keputusan berdasarkan penipuan dan gangguan,’’ katanya sewaktu berucap merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan Presiden Dewan Media Sosial Malaysia (SMC), Shahul Hameed Dawood.

Dalam majlis itu, Najib diberikan penghormatan dengan menerima Anugerah Kepimpinan Global dalam Pembabitan Media Sosial manakala selebriti terke­nal, Zizan Razak dipilih sebagai Ikon Media Sosial Malaysia 2017.

MSMW 2017 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini  disertai lebih 1,000 pengamal media sosial terma­suk penuntut universiti awam dan swasta seluruh negara. 

Program itu dianjurkan SMC dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan.

Tambah Perdana Menteri, beliau berbangga melihat SCM dan penganjur MSMW 2017 yang menekankan nilai-nilai teras bertanggungjawab dan akauntabiliti terhadap pandangan-pandangan yang diutarakan sepanjang program berlangsung.

‘‘Hal ini yang kerajaan ingin lihat dalam media sosial iaitu anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan sesuatu perkara.

‘‘Tetapi jangan mempertikaikan fakta bahawa ekonomi negara tumbuh 5.7 peratus dalam separuh pertama tahun ini. Jangan pertikaikan fakta bahawa Malaysia dihormati dan disegani di seluruh dunia, dari Was­hington D.C, Beijing ke Riyadh, New Delhi dan London.

‘‘Jangan pertikaikan rekod kerajaan yang mengambil keputusan sukar seperti memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menghentikan subsidi kerana langkah-langkah itu penting untuk dilakukan yang turut diiktiraf agensi-agensi penarafan antarabangsa serta badan-badan terkenal dunia seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF)  dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),” ujarnya.