Hal itu dinyatakan oleh Koordinator Berita TRT Turki, Fatih Sahingoz sewaktu menyampaikan taklimat berhubung rentetan cubaan tentera pembelot me­rampas stesen televisyen itu pada malam kejadian 15 Julai lalu.

Katanya, agensi media ada ‘suara’ untuk menyampaikan kehendak pemimpin, rakyat mahupun analisis sendiri.

Sambil mengulas kejadian itu, cubaan rampasan kuasa oleh tentera pembelot ke atas kerajaan Presiden Recep Tayyib Erdogan, Fatih menjelaskan, media adalah alat perkukuh demokrasi dan mempertahankannya adalah hak bersama.

Beliau memberitahu, ketika kejadian terdapat 100 kakitangan stesen televisyen prokerajaan itu sedang bekerja serta bersiaran.

“Pada pukul 10 malam, sekumpulan tentera (pembelot) sekitar 100 orang telah masuk ke bangunan ini dan mendakwa itu adalah eksesais, kononnya untuk menjaga kakitangan daripada ancaman pengganas,” katanya kepada wakil media Asia Tenggara, di sini hari ini.

Stesen televisyen TRT berope­rasi 24 jam untuk menyiarkan berita semasa.


Video oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

Tambah Fatih, pada malam kejadian, keadaan bertukar menjadi sebaliknya apabila kakitangan diikat tangannya dan mengganggu sia­ran langsung.

“Kami yang bekerja diacukan senjata dan penyampai seorang wanita didesak supaya membaca deklarasi Kumpulan Pengganas Fetullah Gulen (FETO), atau kami semua ditembak. Arahan tembak jika engkar itu ada dalam rakaman kamera kami,” tegasnya.

Bagaimanapun katanya, FETO telah me­ng­ubah keputusan dan ma­hu seorang pemimpin keraja­an pimpinan Erdogan membaca deklarasi berkenaan.

“Usaha itu gagal selepas rak­yat bangkit pertahan negara dan berlaku tembak menembak di luar bangunan ini. Tentera pembelot keluar dari bangunan ini awal pagi,” katanya.

Tegasnya, siaran TRT telah terganggu sehingga pagi tetapi ste­sen televisyen lain berjaya menayangkan keganasan yang dilakukan oleh FETO pada malam kejadian.

“Saya ingin tegaskan bahawa, walaupun media sering kali dijadikan satu aset sasaran pengganas, kita boleh bertindak melampaui ketakutan de­ngan menyiarkan berita benar melalui kerjasama seluruh media global.

“Pengganas mungkin cuba menakluk satu atau dua agensi media tetapi mereka tidak boleh menakluk keseluruhan agensi media dunia,” katanya.

Berikutan kejadian itu, seramai 312 kakitangan daripada kira-kira 9,000 orang disyaki ada hubung­an dengan FETO telah dikeluarkan daripada TRT selepas penglibatan mereka dikenal pasti oleh perisik kerajaan.

“Pada hari ini, studio yang menjadi saksi kepada kebangkitan rakyat telah kami namakan ‘Studio Rakyat 15 Julai’, manakala penyampai wanita berkenaan masih lagi bercuti kerana trauma dengan kejadian mengejutkan itu,” katanya. – UTUSAN