Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, tanpa sokongan media, masyarakat mungkin tidak mengetahui perjalanan aktiviti kerajaan dan pemimpin sekali gus bakal menimbulkan pelbagai persepsi lain.

“Pihak media harus memain peranan bersama-sama dengan para pemimpin kerajaan Pas Terengganu bagi menyalurkan maklumat dan dasar kerajaan.

"Langkah ini secara tidak langsung dapat memastikan rakyat di negeri ini memahami dasar-dasar kerajaan yang telah dan bakal dilaksanakan," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Media Parlimen Kemaman di sebuah hotel di Cherating, Pahang malam tadi.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan ADUN Air Putih, Ab. Razak Ibrahim.

Program anjuran Jawatankuasa Media Parlimen Kemaman itu bertujuan merapatkan hubungan media dengan pemimpin masyarakat terutama wakil rakyat Pas di daerah berkenaan. - UTUSAN ONLINE