Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, maklumat daripada media baharu kadang kala bercampur baur di antara fitnah dan perkara yang tidak betul.

"Jadi harapan masyarakat hanyalah kepada media cetak untuk mendapatkan maklumat tepat," katanya pada Majlis Dialog dan Berbuka Puasa Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Pengamal Media di Hotel Grand River View di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; barisan Exco kerajaan negeri serta pengamal media cetak dan elektronik.

Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, media bukan sahaja berperanan sebagai penyebar maklumat tetapi juga menjadi pendidik kepada masyarakat.

Katanya, sebagai contoh membabitkan isu sampah, media juga boleh membantu mendidik selain memberi kesedaran kepada mereka.

"Media perlu mendidik masyarakat secara berterusan kerana masyarakat suka mendengar dan menerima maklumat daripada media bertulis ini," katanya. - UTUSAN ONLINE