Hal ini dilihat oleh penjenayah siber sebagai peluang besar untuk mereka menjalankan kerja-kerja licik menipu pengguna internet bagi mengaut keuntungan dengan jalan mudah.

Maka, tidak hairan jika statistik jenayah siber menunjukkan pe­ningkatan saban ta­hun selaras dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam menangani kes-kes jenayah siber ini, kepakaran pihak berkuasa terutama da­lam bidang forensik digital amat diperlukan bagi mencari bukti-bukti yang hanya boleh ditemukan di dalam peranti-peranti digital sekali gus menjejak penjenayah siber.

Namun begitu, dengan bilangan juruanalisa forensik digital yang terhad buat masa ini, sesuatu kes itu mungkin mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan.

Menurut Ketua Pegawai Kese­lamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan MCMC, Zulkarnain Mohd. Yasin, pihaknya ketika ini hanya mempunyai lapan orang tenaga pakar dalam bidang forensik digital.

Kekurangan tenaga pakar itu turut dihadapi oleh agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan sebagainya.

Beliau berkata, memandang­kan semakin banyak urusan ber­kaitan kerajaan menggunakan per­khidmatan dalam talian ketika ini, terdapat juga beberapa agensi lain menunjukkan kecenderu­ngan untuk memiliki pakar forensik digital masing-masing.

“Kita tidak boleh memenuhi permintaan terhadap keperluan pakar-pakar forensik digital dengan kadar segera kerana mereka perlu menjalani latihan teknikal, ujian kecekapan dan kemahiran menggunakan peralatan forensik serta mendapatkan sijil-sijil perakuan berkaitan.

“Sebab itu kita kena memperce­patkan pencarian bakat-bakat baharu. Antara kaedah yang sesuai da­lam pencarian ini adalah melalui pertandingan keselamatan siber melibatkan pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) seperti Borneo Cyber Security Challenge (BCSC) 2017 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian BCSC 2017 yang diadakan selama dua hari di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini baru-baru ini.

Menurut Zulkarnain, bermula 2013 hingga April tahun ini, seba­nyak 899 kes yang memerlukan analisa forensik digital melibatkan pelbagai agensi telah dilaporkan.

Beliau berkata, jumlah itu mungkin kelihatan sedikit namun melibatkan 2,731 ekshibit termasuk komputer riba, pendrive, telefon bimbit, tablet serta peralatan komunikasi elektronik lain.

“Untuk menganalisa satu bukti sahaja mungkin memakan masa lama, bergantung kepada saiz kapasiti storan ekshibit digital. Ia umpama mencari sesuatu yang tersembunyi di dalam hutan belantara, kita kena meneroka hutan tersebut untuk mencarinya.

“Kadang-kadang benda yang hendak dicari itu tidak dinyatakan dengan jelas dan itulah cabaran kepada pakar forensik kita. Bidang ini memerlukan kepakaran yang bukan kita boleh hasilkan dalam tempoh singkat,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Zulkarnain, penganjuran BCSC 2017 dilihat dapat membantu mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam keselamatan siber di samping menarik minat pelajar untuk mene­roka bidang tersebut.

BCSC 2017 mengetengahkan dua kategori iaitu Menggodam dan Mempertahan serta Cabaran Forensik dengan setiap kategori disertai oleh 20 kumpulan daripada IPT awam dan swasta dari seluruh negara.

Menurut Zulkarnain, pemenang bagi kedua-dua pertandi­ngan itu akan diberi peluang menjalani latihan industri dengan MCMC bagi membolehkan bakat mereka terus digilap.

Selain itu, MCMC turut membawa 16 pakar untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan kira-kira 600 mahasiswa melalui program-program lain yang turut disediakan dalam acara itu seperti bengkel me­ngenai etika penggodaman dan forensik digital, kempen Klik Dengan Bijak (KDB), ceramah industri dan forum keselamatan siber.

“Daripada perkongsian pakar yang hadir pada acara ini, para peserta berpeluang menimba maklu­mat dan membayangkan apa pe­nge­tahuan yang diperlukan untuk menjadi pakar forensik digital.

‘‘Dalam pencarian pakar forensik digital ini, kalau kita buat secara temuduga terbuka, kita mungkin tidak dapat bakat yang sebe­tulnya tetapi dengan mengadakan pertandingan sebegini, kita boleh kenal pasti bakat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof mencadangkan supaya diwujudkan program pascasiswazah yang mengkhusus dalam bidang forensik digital di universiti-universiti tempatan terpilih.

Menurut beliau, hal ini kerana forensik digital dan keselamatan siber merupakan bidang kepakar­an dan bagi melahirkan pakar da­lam bidang tersebut, individu perlu menjalani pengajian dan la­tihan secara khusus.

“Saya berharap BCSC 2017 ini dapat memberi inspirasi dan me­rangsang para peserta untuk melihat cabaran dalam keselamatan siber secara inovatif dan holistik.

“UMS akan terus meningkatkan kerjasama strategik dengan MCMC dalam bidang keselamatan siber, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bidang penyelidikan berkaitan,” katanya.

Kerjasama julung kali antara MCMC dan UMS melalui pe­nganjuran BCSC 2017 dilihat turut membantu memudahkan pe­­­nyam­­paian kandungan mesej-me­sej utama advokasi kepada pelajar-pelajar IPT.

Penglibatan kedua-dua pihak itu memberi impak positif dalam usaha mewujudkan kesedaran khususnya kepada kumpulan sa­sar iaitu golongan mahasiswa me­ngenai etika penggunaan internet yang betul bagi menge­lak­kan berlakunya je­na­yah siber sama ada secara sedar atau tidak.