Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai tanda cintakan keamanan dan keharmonian, seluruh rakyat diseru untuk berhimpun pada 8 Disember ini dengan aman tanpa menyentuh unsur perkauman dan sensitiviti mana-mana agama.

“Kita adalah rakyat Malaysia cintakan keamanan yang telah dibina berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan mengikut acuan kita sendiri.

“Justeru Pemuda UMNO menyeru seluruh rakyat Malaysia bersolidariti dengan berpakaian putih selama sehari dan mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda kecintaan kepada keamanan dan keharmonian pelbagai agama dan kaum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, bagi memastikan kelancaran dan keamanan sepanjang program himpunan tersebut, kira-kira 5,000 ahli Pemuda UMNO dan Jabatan Amal Pas akan bergandingan dan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemuda UMNO akan memastikan sebarang bentuk provokasi sama ada melalui perbuatan, poster, laungan dan sorakan yang menyentuh isu-isu perkauman dan agama yang dilakukan oleh mana-mana individu akan segera diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Kami juga mengharapkan kerjasama semua pihak mengambil gambar individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan diserahkan kepada pihak keselamatan. Selain itu, peserta diharap sentiasa menjaga disiplin termasuk kebersihan dengan membawa beg-beg plastik hitam untuk membersihkan segala sampah sepanjang berarak dan berhimpun di Dataran Merdeka nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE