“Mesej yang tular baru-baru ini mendakwa suruhanjaya berkenaan memantau kandungan dalam aplikasi itu adalah sama sekali palsu,” katanya kepada media selepas me­rasmikan Biz World Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2017, di sini hari ini.

Salleh berkata, selama ini kementerian berkenaan hanya memberi nasihat kepada masyarakat umum supaya tidak menyalahgunakan media sosial berikutan mereka terikat kepada undang-undang dan peraturan negara.

“Sungguhpun kita mempunyai kebebasan untuk bercakap dan menulis, namun kita tidak mempunyai kebebasan untuk memuatkan dakwaan atau khabar angin yang boleh mengancam kestabilan negara dan akhirnya memusnahkannya.

“MCMC hanya badan pe­ngawal selia. Pihak berkuasa lain yang akan mengambil tindakan perlu terhadap sesiapa yang didapati memuatkan dakwaan dan berita tidak berasas dalam sosial media,” katanya.

Mengenai rancangan Sarawak untuk menubuhkan agensi komunikasi dan multimedianya sen­diri, Salleh berkata, ia merupa­kan perkembangan positif bagi negeri ini untuk terus maju.

“Dengan adanya agensi khusus seperti itu, Sarawak boleh mempercepatkan proses menaik taraf sistem ICT di negeri ini.

“Di peringkat Pusat, kami sedia memberi kerjasama penuh. Kami mungkin mewujudkan jawatankuasa antara kami dan negeri untuk membantu melancarkan apa yang telah dirancangkan oleh negeri,” katanya. – BERNAMA