SANDAKAN 20 Feb. - Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi penganjuran Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan akan ke seluruh negara bagi menyampaikan mesej-mesej advokasi keselamatan internet dan kesejahteraan siber.
Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi MCMC, Dr. Fadhlullah Abdul Malek berkata, bermula dengan Sabah, program itu yang dianjurkan MCMC dengan kerjasama rakan strategik akan diadakan di beberapa lokasi mengikut zon seperti zon tengah, utara, timur, selatan dan Sarawak.
“Mesej-mesej yang akan disampaikan adalah daripada modul-modul program Klik Dengan Bijak (KDB) yang kita lancarkan pada 2012 dalam membudayakan penggunaan internet secara positif dan sihat.
“Tema ‘Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan’ dipilih kerana dalam memupuk kesejahteraan siber, adalah penting untuk membina asas kesedaran melalui pendidikan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan di sini, baru-baru ini.
Majlis itu yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Bagi edisi Sabah, Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan dianjurkan dengan kerjasama Kolej Unikop yang merupakan anak syarikat milik penuh Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad.
Dalam majlis itu, seramai 400 pelajar terdiri daripada anak-anak anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sumbangan pengenalan diri (ID) untuk mengakses portal e-pembelajaran, HomeTutor berjumlah RM136,000.
Sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kolej Unikop menerusi program Unikop4School dalam membantu anak-anak polis untuk belajar tuisyen secara digital.
Melalui HomeTutor, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat mengenai program KDB.
Menurut Fadhlullah, Bancian Pengguna Internet 2016 oleh MCMC mendapati 89.4 peratus aktiviti dalam talian dilakukan menerusi telefon pintar dengan 1.8 juta orang atau 5.8 peratus daripada jumlah itu merupakan pengguna berumur di bawah 18 tahun.
Katanya, pelajar sekolah atau kanak-kanak merupakan golongan yang mudah terdedah kepada jenayah siber namun tiada perlindungan yang utuh dalam memastikan mereka kekal selamat ketika berada di dalam talian.
Sehubungan itu, ujarnya, penganjuran Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan adalah sangat penting kerana selain mendidik masyarakat mengenai etika penggunaan internet, ia juga dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa dalam mengawasi aktiviti anak-anak di dalam talian.
“Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan akan menjadi platform bagi pihak MCMC dan rakan strategik dalam meningkatkan kesedaran literasi media kerana ianya adalah alternatif terbaik berbanding sekatan kandungan oleh kerajaan.
“Menerusi program KDB, diharapkan anak-anak pelajar dan ibu bapa akan melengkapkan diri dengan kemahiran kawal selia kendiri dan menjadi pengguna internet bertanggungjawab kerana saya percaya knowledge is power,” katanya.
MCMC dalam program itu turut mengadakan pameran portal Sebenarnya.my yang dibangunkan bagi memerangi penyebaran berita palsu serta pameran Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) kluster Sandakan yang menjadi pusat sehenti masyarakat tempatan mendapatkan kemudahan internet, latihan asas keusahawanan dan program keselamatan internet KDB.