Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus

Ketua Sektor Digital dan Ekosistem Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus berkata, selain menyediakan kemudahan komputer dan capaian jalur lebar, PI1M turut mengadakan kelas-kelas keusahawanan terutama dari segi bagaimana memanfaatkan internet untuk mengembangkan perniagaan.

“Dengan kewujudan PI1M di hampir seluruh kawasan luar bandar di negara ini, maka tiada lagi alasan untuk usahawan luar bandar tidak dapat menggunakan internet dalam melebarkan lagi sayap perniagaan mereka.

“Di PI1M, mereka akan dibim­bing tentang cara membuat laman web dan menggunakan laman sosial untuk meluaskan pasaran. Malah PI1M turut membantu mempromosi produk-produk me­reka melalui medium-medium ter­tentu seperti aplikasi Dashboard Komuniti,” katanya dalam sidang akhbar sempena program Lawatan Media: Menarik Di Padang Terap di sini, baru-baru ini.

Ditubuhkan secara berpering­kat-peringkat bermula 2007, PI1M merupakan projek terawal di bawah inisiatif program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dengan matlamat utama merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Pada peringkat awal, PI1M ha­nya memperkenalkan komuniti kepada asas penggunaan kompu­ter dan internet, namun pusat itu kini banyak memberi fokus kepada penganjuran program-program pembangunan keusahawanan.

Menurut Mohd. Ali Hanafiah, sehingga kini terdapat 820 buah PI1M di seluruh negara dengan keahlian mencecah 550,000 orang.

Daripada jumlah itu, hampir 30 peratus menggunakan perkhid­matan PI1M untuk memasarkan perniagaan masing-masing.

“Kita telah menyaksikan sen­diri perubahan yang berlaku da­lam kalangan usahawan luar ban­dar sejak kehadiran PI1M.

“Salah satu contoh terbaik di wilayah utara ialah pengusaha Castella Cafe di Grik, Perak, Mohd. Isa Mohammed Ramli yang tular di media sosial kerana mempopularkan semula masakan Melayu Hulu Perak.

“Bermula dengan berniaga kecil-kecilan, dia yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU) kini bukan sahaja memiliki kedai makanan yang unik di tepi su­ngai dan dikunjungi ramai orang, malah pernah menjadi chef jemputan di hotel lima bintang. Semuanya bermula dengan PI1M,” katanya.

Bagi memantapkan lagi usa­ha menonjolkan produk tempatan yang terdapat di sesuatu kawasan, MCMC memperkenalkan konsep kluster iaitu dengan menggabungkan semua PI1M da­lam daerah sama untuk bekerja secara kumpulan.

Konsep itu, ujar Mohd. Ali Hanifiah, membolehkan mereka mengendalikan program-program yang lebih besar dan bersepadu serta berkongsi kemahiran dan kelebihan tertentu.

“Sebagai contoh, sembilan buah PI1M dalam daerah Padang Terap membentuk satu kluster dan mereka bekerjasama mempromosi produk tempatan melalui inisiatif ‘Menarik Di Padang Terap’,” ujarnya.