DR. MAZLAN ISMAIL
DR. MAZLAN ISMAIL

Dalam satu majlis simbolik penyerahan di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya di Putrajaya baru-baru ini, poster-poster ber­kenaan diserahkan oleh MCMC kepada Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha untuk diedarkan ke tiga buah masjid utama di negara ini.

Masjid-masjid itu ialah Masjid Negara di sini dan dua lagi di Put­rajaya iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian, Keselamatan dan Pengurusan Media Baharu MCMC, Dr. Maz­lan Ismail berkata, poster-poster tersebut turut diserahkan kepada wakil-wakil pengurusan daripada 2,500 buah masjid dari seluruh negara sempena Majlis Perdana Ulama Umara dan Pembentangan Indeks Syariah, awal bulan lalu.

MCMC turut me­ngambil ke­sempatan mengedarkan pos­ter-poster berkenaan kepada pe­mimpin-pemimpin ma­syarakat ser­ta guru-guru sempena Konvensyen Ke­pimpinan Masyarakat Islam Ne­geri Johor, baru-baru ini.

“Kualiti dan bahan yang dihasilkan menerusi pertandingan ini sa­ngat baik dan harus diguna pakai bagi tujuan pelaksanaan advokasi.

“Justeru, pengurusan MCMC dan Jakim telah mengambil keputusan agar poster-poster yang dihasilkan itu dicetak dan dise­bar luas ke seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Pertandingan Pos­ter Dakwah Digital KDB yang dianjurkan pada akhir tahun lalu itu bertujuan mewujudkan platform dakwah digital yang kreatif dan mampu viral supaya dapat menghebahkan mesej-mesej utama ke­selamatan internet dengan lebih pantas dan meluas.

Berbanding teks semata-mata, poster-poster yang mengandungi elemen-elemen seperti infografi, tipografi, fotografi dan ilustrasi dilihat lebih interaktif serta dapat menarik minat orang ramai khususnya pengguna internet untuk menyelami mesej-mesej yang hendak disampaikan.

Pertandingan tersebut yang ber­langsung selama tiga bulan bermula 1 September tahun lalu mendapat sambutan meng­galakkan apabila menerima lebih daripada 2,000 penyertaan untuk enam te­ma yang dipertandingkan pada setiap dua minggu.

Tema-tema itu ialah ‘Sabar sebelum sebar’ (penyebaran maklumat palsu), ‘Mana adab’ (Etika penggunaan), ‘Syurga ekspres?’ (radikal dalam agama), ‘Permata hatiku’ (perlindungan kanak-ka­nak dalam talian), ‘Antara pahala dan dosa’ (pilihan di hujung jari), dan ‘Menjauhkan yang dekat’ (ke­ta­gihan internet).

Menurut Mazlan, pihaknya sedang mengedarkan poster-poster berkenaan ke masjid-masjid ne­geri dan agensi agama menerusi kerjasama ahli Jawatankuasa Advokasi Jabatan Agama Islam Nege­ri (JAIN).

Poster-poster itu turut diedarkan ke 800 buah Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh negara dengan bantuan penyedia perkhid­matan dan pejabat wilayah MCMC serta 10,000 buah sekolah menengah dan rendah menerusi kerjasama strategik bersama kementerian dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, matlamat utama pengedaran itu adalah untuk mempergiatkan pelaksa­naan advokasi menerusi kepelbagaian saluran penyampaian dan memanfaatkan kerjasama antara Jakim dan JAIN sebagai rakan pelaksana di rangkaian masjid dan agensi di bawah kelolaan mereka.

“MCMC mahu memastikan projek itu mempunyai kesinambungan kesan jangka panjang.

“Kita juga mahu program a­dvokasi ini disampaikan di pering­kat akar umbi komuniti serta digunakan sebagai bahan advokasi oleh rakan strategik menerusi program-program pe­merkasaan yang akan mereka laksanakan,” ujarnya.

Dalam perkembangan ber­asingan, Mazlan memberitahu bahawa MCMC baru-baru ini telah melancarkan portal sebenarnya.my sebagai pusat sehenti untuk rakyat di negara ini menyemak kesahihan sesuatu berita yang menular di laman sosial, per­khidmatan mesej segera, laman sesawang dan sebagainya.

Melalui portal itu, orang ramai juga boleh melaporkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya untuk diperiksa oleh MCMC dengan agensi-agensi berkaitan.