Kenyataan itu adalah maklum balas daripada Syarikat Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali McDonald’s di Malaysia yang kecewa dengan fitnah di laman sosial mengenai penglibatan pihaknya sebagai penyumbang ekonomi negara Israel.

Pengurusnya, Azmir Jaafar berkata, syarikat itu adalah 100 peratus milik tempatan dan rata-rata pemegang saham terbesarnya beragama Islam.

“Dakwaan bahawa McDonald’s Malaysia menyalurkan dana kepada Israel adalah satu tuduhan yang tidak benar, dusta, palsu dan fitnah kerana syarikat ini telah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia.

“Kita amat menitikberatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat di negara ini. Pada tahun ini sahaja, McDonald’s Malaysia telah membelanjakan lebih RM2.5 juta untuk menjayakan 5,000 aktiviti kemasyarakatan,” katanya menerusi siaran akhbar, di sini, hari ini.

Azmin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan pembohongan yang mengajak orang ramai untuk memboikot jenama McDonald’s.