Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, keyakinan itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri yang sentiasa membuka ruang, peluang dan sokongan kepada mana-mana usahawan bumiputera untuk memajukan perniagaan.

Beliau berkata, lebih baik jika kalangan usahawan itu terdiri daripada golongan B40 supaya dapat menggunakan geran ini bagi menjalankan perniagaan.

“Jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh, sudah pasti mereka ini akan dapat keluar dari garis kemiskinan bagi mengubah kehidupan ke peringkat lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Geran Program Mcash dan Program Dana Mudahcara TERAJU @NCIA di Dewan Warisan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ahmad Bakri Datuk Ali, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq dan Pengarah Kanan TERAJU, Norizan Sharif.

Sebanyak 13 usahawan me­nerima geran MCash berjumlah RM13,000 hingga RM30,000 manakala dua penerima TERAJU @NCIA yang menerima geran pembangunan hartanah.

Penerima geran MCash terdiri daripada usahawan dalam bidang pengeluaran makanan dan minuman, produk kesihatan dan spa, dandanan rambut, perkhidmatan dobi, perniagaan komputer dan percetakan.

Sebelum itu kira-kira 200 usahawan hadir dalam Program Pembangunan Forum Keusahawanan.

Sementara itu dalam ucapan­nya Azlan berkata, setiap kejayaan memerlukan usaha bersungguh-sungguh dan setiap usahawan mikro mampu berkembang lebih jauh.

“Usahawan perlu pandai mencari peluang dan maklumat tepat untuk memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, sikap dan budaya keusahawanan yang baik, serta menjadikan perniagaan itu sebagai kerjaya pilihan di kalangan bumiputera harus ditingkatkan.

Sehubungan itu, kata Azlan, kerajaan negeri akan sentiasa merangka pelan-pelan yang dapat membuka peluang lebih peluang pekerjaan, memikat minat pelabur dan rancangan pembangunan demi kesejahteraan rakyat Perlis.

Azlan juga menasihatkan usahawan supaya memanfaatkan dana yang diberikan dengan sebaiknya.

Tambahnya, usahawan perlu bijak menggunakan ilmu yang diperoleh daripada forum dan bengkel yang diikuti supaya dapat memajukan perniagaan masing-masing.