Ketua Pemuda MCA Pusat, Datuk Chong Sin Woon berkata, bantuan kecemasan yang diberi melalui Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) itu melibatkan kumpulan pertama peniaga yang dikenal pasti beroperasi di tingkat bawah pasar itu.

“Pengusaha gerai yang belum berdaftar atau tiada dalam senarai nama hari ini disarankan untuk bersabar kerana fasa kedua bantuan akan dibuat pada tarikh yang akan ditetapkan nanti,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr. Lim Chin Fui; Pengerusi MCA Bahagian Seremban, Siow Koi Voon dan Pengerusi MIC Bahagian Seremban, S. Batumalai.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebahagian besar tingkat atas pasar dua tingkat itu yang menempatkan gerai menjual makanan, bunga, pakaian dan barangan keperluan harian musnah dalam kebakaran pukul 7.30 malam.

Sementara itu, wakil Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Iskandar Ariffin berkata, pihak MPS sedang membina khemah dan melakukan kerja-kerja penyusunan gerai di pasar itu.

Ujarnya, semua aduan dan cadangan akan dibincangkan dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menangani isu pasar itu termasuklah isu teknikal seperti penyambungan bekalan elektrik, penutupan jalan dan tempat letak kereta. - UTUSAN ONLINE