Lian Ker mempersoalkan kewajaran perhimpunan berkenaan bagi meraikan perjuangan hak asasi kemanusiaan sedang kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah gagal meratifikasi ICERD.

“Bagaimana mereka boleh membenarkan dua perhimpunan diadakan serentak - Adakah ini fenomena baik, buruk atau memberi gambaran hodoh kepada Malaysia Baharu?” katanya.

Tambah beliau, perhimpunan anjuran Pas-UMNO di Dataran Merdeka dijangka dihadiri 500,000 orang, manakala perhimpunan anjuran Suhakam diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya secara serentak cukup membimbangkan.

Perhimpunan yang bakal dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet menyerlahkan sikap hipokrit mereka, katanya.

“Sebenarnya ratifikasi ICERD tidak perlu dibangkitkan kerana Artikel 153 Perlembangaan Persekutuan dengan jelas melindungi hak istimewa orang Melayu serta bumiputera di Sabah serta Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Apakah perhimpunan itu lebih kepada untuk mengaburi mata penyokong PH tentang kegagalan mereka menunaikan janji manifesto pilihan raya yang lalu?” soal beliau.

Sejak berdekad, kata beliau, DAP dan Lim Kit Siang menghentam Dr. Mahathir dan Barisan Nasional (BN) gagal memperjuangkan hak asasi manusia khususnya untuk kaum Cina, tetapi bila berkuasa mereka tidak mampu melaksanakannya.

Lian Ker berpendapat anggota keselamatan sepatutnya digunakan kepada usaha untuk mencegah jenayah dan bukannya membazir untuk mengawal perhimpunan yang tidak sepatutnya diadakan. - UTUSAN ONLINE