Restoran beroperasi 24 jam yang terletak di Seksyen 9 itu merupakan restoran ke lima yang diarahkan tutup selepas MBSA menjalankan pemeriksaan di lebih 70 premis sejak awal Januari.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan berkata, pada pemeriksaan yang dilakukan hari ini, pihaknya telah memeriksa enam premis antaranya restoran mamak dan kopitiam di sekitar Seksyen 9.

"Hasil pemeriksaan, kita telah mengarahkan sebuah restoran mamak ditutup, mengeluarkan 24 notis dan 10 kompaun. Antara kesalahan yang dikeluarkan notis adalah tidak menyenggara perangkap minyak secara berkala, gagal mengemukakan bukti suntikan dan penggunaan lorong belakang.

"Tindakan di atas kegagalan pemilik premis mematuhi syarat yang ditetapkan adalah mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Establismen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & Perindustrian MBSA 2007 dan Undang- Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rashidi berkata, pihaknya akan terus mengadakan pemeriksaan mengejut di premis makanan yang dikenal pasti gagal mematuhi syarat kebersihan ditetapkan.

"Kita memberi amaran kepada semua pemilik restoran supaya mengikut undang-undang ditetapkan dan memastikan premis bersih.

"Kita bercadang untuk mengadakan pemeriksaan bersama Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," ujarnya. - UTUSAN ONLINE