Ahmad Faizal berkata, beliau sendiri tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya SPRM ingin memanggilnya, namun mengakui beliau tidak mengetahui apa-apa.

“Saya sendiri kalau SPRM panggil, tiada masalah. Saya baik dengan semua orang. Namun, kalau SPRM hendak panggil saya berkenaan kes ini, saya tidak ada apa sebenarnya. Saya tidak tahu cerita, jadi, saya hanya boleh bagi tahu apa yang saya baca atau apa yang anda beritahu, itu sahaja yang saya tahu.

“Banyak orang mengatakan Saarani harus membuktikan apa sahaja nama yang disebutkannya namun, seperti yang dikatakan oleh Nga Kor Ming, semua orang boleh membuat kenyataan bersumpah,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan berani Saarani menyebut secara terbuka nama Abdul Aziz di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 yang berakhir semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengakui, selepas dakwaan tersebut dilemparkan, Abdul Aziz tidak ada bertemu dengannya secara peribadi, malahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak setakat ini, tidak ada membincangkan perkara berkenaan bagi mengusulkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya Abdul Aziz disiasat.

“Semalam, selepas selesai Sidang DUN Perak, kami (semua wakil rakyat kerajaan) mengambil gambar bersama dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain, semuanya dalam keadaan sangat baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE