Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya di sepanjang perjalanan menghadiri program di Chenderiang dekat sini dari Ipoh hari ini, beliau tidak nampak walaupun satu Jalur Gemilang yang dipasang.

Beliau berkata, sehubungan itu rakyat diminta supaya mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

“Hari ini saya dari Ipoh sampai Chenderiang, tak ada satu bendera (Jalur Gemilang) pun saya nampak dan ini amat, amat mendukacitakan.

“Saya harap rakyat harus mengibar Jalur Gemilang, bukannya mahal, RM2 atau R10 sahaja untuk kita membuktikan semangat sayangkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Khidmat Undangan Dewan Negeri (DUN) Chenderiang di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, rasa cintakan negara, menghormati Perlembagaan dan Rukun Negara harus diterjemahkan daripada perkara-perkara yang kecil seperti memasang Jalur Gemilang.

Menurutnya, kurangnya kesedaran untuk rakyat mengibarkan Gemilang mungkin disebabkan mereka menganggap ia perkara yang remah dan ia tugas kerajaan.

Katanya, semangat cintakan negara sehingga mengibar Jalur Gemilang hanya terserlah sewaktu rakyat memberikan sokongan kepada atlet negara dalam sesuatu acara sukan.

“Oleh itu saya mengharapkan semua pihak menggerakan kesedaran agar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan yang akan kita sambut tidak lama lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE