Beliau berkata, ia boleh disediakan sekiranya ada pihak yang mampu memberi sumbangan bagi meningkatkan kemudahan di pusat tahfiz.

"Saya lihat ada sebuah pusat tahfiz moden di negeri ini yang ada kolam renang, tetapi kita tidak mampu nak buat semua. Tetapi kalau ada penyumbang, tak jadi masalah untuk sediakan kolam renang di setiap pusat tahfiz.

"Kalau ada sumbangan kita alu-alukan, kita mahu bangunkan pendidikan bukan saja sekolah biasa tetapi madrasah juga perlu diberi perhatian," katanya dalam akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Projek Madrasah Impianku di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar; Pengerusi Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan, Mohd. Ali Ab. Kadir dan Pengurus Besar Econsave Cawangan Selatan, Maz Imran Adam.

Dalam majlis itu, sebanyak 39 madrasah di negeri ini menerima peralatan keselamatan kebakaran sumbangan Econsave yang keseluruhannya bernilai RM150,000.

Sementara itu, Aminuddin turut menggesa para pelajar di madrasah dan pusat tahfiz supaya menyertai aktiviti kemasyarakatan.

"Anak-anak ini mesti dibawa keluar bersama masyarakat. Kalau boleh pusat tahfiz buat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama pelajar dan kembangkan daya mereka hidup bermasyarakat," katanya. - UTUSAN ONLINE