Katanya, beliau telah mengarahkan Pejabat Daerah Port Dickson menyiasat dakwaan itu serta meminta Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melihat masalah sebenar berkaitan operasi jeti tersebut yang dikatakan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Beliau juga menyanggah tuduhan bahawa dirinya mendapat habuan daripada perniagaan arang batu tersebut.

“Ini adalah satu tuduhan kepada saya. Saya memang tidak tahu menahu mengenainya dan baru semalam dapat maklumat awal daripada Pegawai Daerah Port Dickson mengenai operasi di jeti tersebut.

“Saya tidak dapat apa-apa aduan mengenai masalah ini sebelum ini dan saya telah meminta Pejabat Daerah Port Dickson menjalankan siasatan dan memberi laporan kepada saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Gotong-Royong Perdana anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa pantai Port Dickson tercemar akibat kegiatan pemunggahan dan penyimpanan arang batu di jeti tersebut.

Portal itu mendakwa jeti itu dipajakkan oleh KTMB kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan pemimpin DAP dari Perak.

Dakwa portal itu, beberapa aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa mengenai masalah itu tetapi tiada tindakan sehingga kini malah ia menuduh terdapat tangan ghaib yang menghalang jeti itu daripada ditutup. - UTUSAN ONLINE