Presiden Mazda Malaysia, Shinji Sakatani berkata, model kenderaan versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di sini itu akan turut dijual bagi pasaran ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Myanmar.

“Saya sangat berbangga untuk memperkenalkan CX-5 baharu dan pelancaran kilang cat baharu Mazda dengan CX-5 baharu ini akan mula dieskport bermula bulan hadapan.

“Kami memulakan pengeluaran kenderaan Mazda di Malaysia sejak 2012 sebagai hab pengeluaran di rantau ASEAN dan dengan pengukuhan kapasiti pengeluaran ketika ini, kami berharap dapat menyediakan model CX-5 dengan kualiti premium ke lebih banyak pelanggan di ASEAN,” katanya dalam majlis pelancaran Mazda CX-5 baharu dan pelancaran kilang cat baharu Mazda di sini hari ini.

Mazda CX-5 baharu hadir dengan lima varian iaitu 2.0L GL SkyActiv-G; 2.0 GLS SkyActiv-G; 2.5 GLS SkyActiv-G; 2.2L GLS SkyActiv-D 2WD dan 2.2L GLS SkyActiv-D AWD.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Bhd., Datuk Seri Ben Yeoh Choon San; Pengarah Eksekutif Bermaz Auto Bhd., Datuk Francis Lee; Ketua Pegawai Eksekutif Urusan Mazda Motor Corporation, Masatoshi Maruyama dan Hiroshi Inoue serta Pengarah Urusan Inokom, Mohd. Rizal Jailan. - UTUSAN ONLINE