Ketua Perkhidmatan Kewa­ng­an Komuniti Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, segmen pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) diunjur terus menjadi penyumbang terbesar kepada jualan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Selain ASB, katanya, Maybank juga menawarkan produk kad debit dan kredit yang merupakan antara produk yang menerima permohonan tinggi setiap tahun selain pembiayaan sewa beli.

“Antara produk lain yang dijangka mendapat sambutan dalam kalangan pengunjung kali ini adalah produk insurans dan takaful seiring dengan peningkatan kesedaran orang ramai,” katanya ketika ditemui di pameran MSAM 2017 di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan laluan pembayaran baharu, Maybank2u Pay. Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Maybank2u Pay, direka bagi menyokong usahawan e-dagang, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan skala perniagaan mereka.

Laluan pembayaran itu membolehkan syarikat e-dagang mendapatkan keupayaan pembayaran bagi laman web perniagaan mereka dan menerima kelulusan dalam masa 24 jam.

Menurut Hamirullah, prapelancaran Maybank2u Pay pada awal Mac lalu sehingga kini dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan dengan hampir 600 permohonan daripada PKS.

“Maybank komited menginsankan perkhidmatan kewangan dalam usaha memberikan mereka gerbang pembayaran yang berkesan untuk perniagaan dalam talian mereka,” katanya.