Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, mangsa, Raja Nur Suhaida Raja Adli, 18, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangi bersama ibunya dilanggar sebuah kereta Mercedes Benz yang dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusof berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa bersama ibunya, Hanifah Kamarudin, 50, yang menaiki motosikal Yamaha Nouvo LC keluar dari simpang di Kilometer 27 Jalan Kuala Lumpur-Seremban.

“Siasatan awal mendapati me­reka berdua telah terjatuh menyebabkan mangsa terperosok di bawah kenderaan tersebut.

“Mayat remaja berkenaan hanya disedari lelaki tersebut berada di bawah kenderaannya selepas orang ramai menghentikan kereta lelaki itu kira-kira 500 meter dari tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir memberitahu, ibu mangsa dilaporkan meng­alami patah kaki dan menerima rawatan di Hospital Kajang dekat sini sementara mayat mangsa pula dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Jelasnya, polis menahan pemandu kereta terbabit bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut selain sampel darahnya diambil untuk ujian alkohol dan dadah.

“Kenderaan suspek juga turut disita dan kes disiasat mengikut Seksyen41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.