Menurut pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia itu, antara ugutan yang pernah diterimanya ialah kata-kata berbaur ancaman oleh seorang wanita bergelar ibu yang dipercayai peminat fanatiknya.

Tegas Maya, apa yang dibimbanginya ialah, dalam kejadian yang berlaku sekitar Ogos tahun lalu itu, pembuli siber berkenaan turut meng­ugut dan mengancam kese­lamatan keluarganya yang berlanjutan sehingga hampir tiga bulan.

“Mulanya saya tidak begitu ambil peduli dengan ugutan­nya yang kononnya ingin membongkar rahsia saya. Te­tapi dia tetap terus mengugut saya dengan meninggalkan mesej di ruangan komen Instagram dan Facebook.

“Individu itu juga berusaha mencari nama keluarga dan saudara yang lain hingga ke Jerman sebelum mengugut untuk mela­kukan sesuatu secara fizikal,” kata Maya kepada wartawan di sini hari ini.

Pelakon utama filem Ombak Rindu itu berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Berita Palsu yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Kempen tersebut diilhamkan oleh sele­briti Datuk Hans Isaac dan Neelofa yang turut mendapat kerjasama artis popular lain seperti Adibah Noor, Atilia Haron, Dynas Mokhtar, Nora Da­nish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Shahrol Shiro, Caprice, Ila Damia serta Joe Flizzow.

Ekoran kejadian tu, Maya mengambil keputusan membuat laporan polis kerana melihat situasi berkenaan semakin membimbangkan.

Susulan daripada laporan polis yang dibuat Maya, pembuli siber itu berjaya dikesan oleh pihak polis sehingga membawa kepada pe­nangkapannya di Melaka se­hingga ditahan reman sela­ma tiga hari sebelum dikenakan hukuman denda oleh mahkamah.

Sementara itu, pelawak dan penyampai radio terkenal, Shahrol Shiro, 34, pula berkata, penyebaran fitnah mengenai kematiannya pada tahun lalu memberi kesan bukan sahaja terhadap dirinya, malah turut dirasai ahli keluarganya.

“Sebaik sahaja berita kematian saya tular, adik-beradik yang tinggal jauh bergegas pulang ke kampung di Kluang, Johor.

“Jika mereka terkejut de­ngan berita itu, apatah lagi saya yang jadi mangsa. Beberapa bulan juga kami trauma de­ngan insiden tersebut,” katanya.

Justeru, Shahrol berharap, kewujudan sekumpulan pelayar internet terutama yang aktif di media sosial dan digelar makcik bawang oleh netizen perlu dihapuskan dengan kadar segera supaya dapat mengelak daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.