Maxis merupakan penaja utama iaitu Penaja Platinum dengan tajaan RM18 juta sementara Airasia adalah Penaja Emas menerusi tajaan RM12 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, selain Maxis dan Airasia, pelbagai pihak lain juga sedang mengadakan perbincangan dengan RTM kerana mempunyai hasrat untuk menyalurkan tajaan.

“Berhubung kos untuk hak penyiaran, jumlahnya adalah RM30 juta. Kita ada perjanjian spesifik kos berkenaan. Misal kata (dengan pertambahan tajaaan) kita dapat siaran (perlawanan) tambahan, perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan siaran kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 secara percuma di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam kejohanan di Rusia edisi kali ini, RTM memperuntukkan 400 jam siaran bagi menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan menerusi TV1 dan TV2 dengan 28 perlawanan disiarkan secara langsung manakala 13 perlawanan siaran tertunda. - UTUSAN ONLINE