Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, syarikat-syarikat penerbangan menetapkan harga tambang dengan mengambil kira faktor pasaran, ekonomi, harga bahan api dan kos operasi.

“Walau bagaimanapun bagi mengurangkan beban rakyat di kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak, kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan disediakan MASwings adalah berdasarkan harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan yang mengambil kira semua aspek termasuk surcaj bahan api.

“MASwings ada subsidi jadi kita boleh kawal kadar tambang,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada Mavcom sekiranya tambang kapal terbang naik terlalu tinggi.

Tiong Lai memberitahu, beliau juga telah mengarahkan Mavcom untuk melakukan kajian dan mencadangkan pendekatan yang boleh diambil berhubung isu tiket kapal terbang yang dikatakan terlalu mahal bagi beberapa laluan tertentu.-UTUSAN ONLINE