Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Maszlee hanya perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang melanda kementeriannya dan tidak campur tangan dalam soal pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Beliau malah mempertahankan bahawa syarat fasih sesuatu bahasa yang dikenakan sesetengah majikan mungkin merupakan keperluan dalam bidang pekerjaan yang ditawarkan pada waktu ini.

“Mengapa Menteri Pendidikan memilih untuk mempersoalkan keperluan berbahasa Mandarin berdasarkan andaian umum dan menggambarkan ia seperti diskriminasi kaum?

“Sebagai Menteri Pendidikan, apa yang telah dilakukan beliau adalah tidak bertanggungjawab. Sebagai seorang ahli Kabinet juga, beliau perlu minta rakannya, Menteri Sumber Manusia melakukan kajian sebelum membuat sebarang tuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, di hadapan penuntut-penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Maszlee berkata adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Katanya, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin DAP serta Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang mahu menteri itu segera memohon maaf.

Lian Ker malah menjelaskan organisasi korporat tidak membezakan seseorang dari segi bangsa ketika mahu diambil bekerja, sebaliknya berdasarkan nilai pasaran dan keuntungan yang mampu dijana.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan perlu diingatkan bahawa 95 peratus pengundi Cina memilih DAP untuk mendapatkan saingan yang lebih adil.-UTUSAN ONLINE