Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, sejak bulan lalu sebanyak 153 pemandu dikesan menipu penum­pang menggunakan taktik itu bagi mendapatkan keuntungan lebih.

“SPAD mengesan kegiatan penipuan dilakukan golongan itu sejak bulan lalu. Kesemua mereka dalam proses pendakwaan kerana sengaja mematikan aplikasi.

“SPAD juga menerima laporan pemandu turut menggunakan taktik membawa pelanggan menggunakan jalan yang lebih jauh dengan tujuan mengenakan caj lebih tinggi,” katanya selepas Operasi Serkap di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini semalam.

Operasi Serkap diadakan selama dua hari bermula semalam bagi memastikan setiap pemandu bas mematuhi peraturan had laju serta mengikut laluan operasi yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Che Hasni berkata, tindakan sesetengah pemandu yang mahu mendapatkan keuntungan lebih turut mengundang persepsi negatif serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar.

“Kita turut mengesan laporan berkaitan penyalahgunaan aplikasi dengan cara menipu pe­langgan di kawasan yang mempunyai persaingan tinggi seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2.

“Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau ke­dua-duanya sekali mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan pemandu teksi diberi peluang untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing iaitu sistem tempahan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan mereka mencari rezeki dengan kemudahan yang ada.