Menurut Maszlee, berita ditimbulkan atas taktik UMNO itu bertujuan untuk mengalihkan perhatian berhubung siasatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, ketika mengadakan  perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, beliau diminta agar merombak kokurikulum pelajaran.

"Beliau minta saya rombak kokurikukum dan bukannya pasal Kabinet.

"Takkan perkara yang memerlukan komitmen empat tahun, hendak rombakan Kabinet pula," katanya ketika mengadakan tinjauan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), di sini hari ini.

Sehubungan itu, Maszlee meminta para media untuk mengambil sumber berita yang sahih berhubung desas-desus membabitkan rombakan Kabinet tersebut.

Sementara itu, Maszlee memaklumkan, Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) akan dilantik bukan terdiri dalam kalangan orang politik.

Katanya, beberapa calon sudah dikenalpasti untuk dibawa kepada Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Bakal Presiden UIAM mesti terkenal di peringkat antarabangsa dan mempunyai reputasi yang tinggi," katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Portal itu mendakwa nama Maszlee dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun antara bakal digugurkan.

Semalam, Maszlee mengumumkan untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan penggantinya selesai. - UTUSAN ONLINE