Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, warga pendidik dalam Kementerian Pendidikan juga bertanggungjawab untuk terus mempertahankan dasar tersebut.

"Kami juga bertanggungjawab untuk memastikan dasar yang diputuskan oleh kerajaan itu dilaksanakan sebaiknya demi kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Amin, perdebatan dan pertikaian berterusan melibatkan pelbagai pihak mengenai keputusan Jemaah Menteri itu dilihat melampaui batas adab kesopanan.

Kata beliau, tindakan itu secara langsung adalah tidak sesuai dalam dunia pendidikan.

"Keadaan ini boleh menjejaskan tumpuan warga pendidik sebagai penjawat awam untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan," katanya.

Baru-baru ini beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA mengecam Maszlee dan menuntut permohonan maaf serta peletakan jawatan daripadanya kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.

Maszlee dikatakan mengeluarkan kenyataan mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin di hadapan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut menyatakan kuota matrikulasi dan syarat fasih mandarin untuk mendapatkan pekerjaan tidak boleh dilihat secara terpisah. - UTUSAN ONLINE