Kunjungan yang turut melibatkan delegasi kementerian tersebut berlangsung selama hampir satu jam.

Menurut Maszlee dalam sidang akhbar selepas itu, perbincangan yang diadakan lebih kepada soal prinsip dan dasar penubuhan Universiti Johor dan pihak kementerian akan memberi sokongan sepenuhnya bagi menjayakan hasrat berkenaan.

"Perbincangan Universiti Johor (bersama-sama kerajaan negeri) lebih di peringkat prinsip dan dasar penubuhannya dan bagi kerajaan negeri sudah memulakan langkah itu dan Kementerian Pendidikan akan membantu sedaya mungkin untuk menjayakan harapan itu.

"Selain itu, dalam perbincangan tadi ada juga dibincangkan isu pendidikan di Johor yang memerlukan bantuan dan usaha daripada kerajaan negeri sendiri. Diharapkan perbincangan seperti ini dapat membuahkan hasil demi pembangunan pendidikan bukan sahaja di Johor, malah negeri lain seluruh negara," katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.

Penubuhan Universiti Johor itu merupakan menjadi satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-14 di negeri ini. - UTUSAN ONLINE