Seorang pegawai kementerian memberitahu, keputusan itu diambil selepas beliau mengambil pendapat pelbagai pihak termasuk nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sumber itu menegaskan, perletakan jawatan oleh Maszlee itu bukan satu paksaan.

"Beliau menghormati pandangan semua pihak. Tetapi beliau memerlukan sedikit masa dan tidak boleh melepaskan serta-merta.

"Ini kerana terdapat majlis konvokesyen serta beliau mahu membuat beberapa pembaharuan pentadbiran UIAM terlebih dahulu seperti dikatakannya sebelum ini," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Bantahan telah dilakukan aktivis pelajar terhadap pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM sebelum ini kerana bimbang kebebasan universiti itu dikekang oleh kuasa politik.

Dr. Mahathir turut dilaporkan sebagai berkata, kerajaan akan mengkaji semula pelantikan Maszlee yang dikritik sebagai bercanggah dengan inti pati manifesto Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh awal September lalu dan mendapat tentangan banyak pihak termasuk pembangkang dan aktivis pelajar. - UTUSAN ONLINE